Senin, September 28, 2009

USRAH DAN MARHALAH DAKWAH (1)


Imam al-Syaheed Hassan Al-Banna

MAKSUD USRAH
Islam memandang sangat mustahak pembentukan ikatan perpaduan untuk penganutnya. Ikatan itu dinamakan usrah. Melalui usrah kita dapat memimpin penganut Islam ke arah contoh-contoh pujian yang tinggi di samping memperkukuh ikatan yang sedia ada. Selain itu, mutu ukhuwah antara sesama ahli boleh ditingkatkan, iaitu dengan merealisasikan teori dalam perbuatan dan amalan. Oleh itu, kita hendaklah memandang berat dan bersedia untuk menjadi batu bata yang sihat lagi berguna kepada bangunan keluarga bentukan yang mulia ini, iaitu keluarga Islam.

RUKUN USRAH
Rukun ikatan usrah ini tiga perkara iaitu berkenalan, bersefahaman, dan berimbangan. Kita hendaklah mengambil berat perkara ini dan bersungguh-sungguh menjayakannya supaya ikatan itu tidaklah semata-mata menjadi beban yang tidak bererti.

1. Berkenalan
Rukun usrah yang pertama ialah taaruf (berkenalan) antara satu sama lain. Ahli usrah hendaklah berkenal-kenalan serta berkasih sayang dengan semangat cinta kepada agama. Kita hendaklah memahami pengertian dan hakikat ukhuwah sejati. Elakkan perkara-perkara yang boleh mengeruhkan ukhuwah itu. Hal ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjunjung titah firman Allah dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Jadikan firman Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. sebagai perkara yang wajib diutamakan.
Antara firman Allah dan hadis ialah:
Orang-orang mukmin itu bersaudara-mara. (Al-Hujarat, 26:10)
Berpeganglah dengan tali Allah semuanya dan janganlah kamu berpecah-belah. (Ali Imran,3:103)
Orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.
Orang muslim ialah saudara bagi muslim yang lain; ia tidak menzaliminya dan tidak juga membiarkannya.
Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dalam perasaan belas kasihan mereka, dan dalam simpati mereka adalah laksana badan yang satu.

2. Bersefahaman
Rukun usrah yang kedua ialah tafahum (bersefahaman). Kita hendaklah berpegang pada kebenaran dengan mengerjakan apa-apa yang diperintahkan Allah dan meninggalkan apa-apa yang dilarang-Nya. Periksalah diri sendiri dengan sehalus-halusnya sama ada diri kita benar-benar mentaati perintah Allah atau terlibat dalam arena kederhakaan. Setelah memeriksa diri sendiri, kita hendaklah nasihat-menasihati antara satu sama lain apabila kelihatan ada sesuatu yang cacat.
Rakan yang dinasihati itu hendaklah bersikap terbuka dan sanggup menerima nasihat dari sahabatnya. Pemberi nasihat pula janganlah berubah hati terhadap sahabat yang tersilap itu--walau sejarak sehelai rambut sekali pun. Nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik tanpa memandang rendah sahabat yang dinasihati itu. Pemberi nasihat janganlah menganggap dirinya lebih mulia. Sembunyikan kesilapan sahabat itu daripada pengetahuan naqib selama lebih kurang sebulan. Ceritakanlah kepada naqib apabila anda tidak berdaya membaikinya. Namun demikian, jangan sekali-kali tawar hati terhadap sahabat yang silap itu. Sebaliknya, teruskanlah kasih sayang anda terhadapnya sehingga Allah melakukan apa-apa perubahan yang dikehendaki-Nya.
Sahabat yang diberikan nasihat pula janganlah keras kepala. Janganlah juga berubah hati walau sejarak rambut sekalipun terhadap si pemberi nasihat. Fahamilah bahawa martabat kasih sayang kerana Allah itu adalah setinggi-tinggi martabat bagi pengertian kasih sayang di kalangan umat manusia. Nasihat pula adalah satu dasar yang amat penting dalam agama Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya), "Agama itu adalah nasihat." Oleh itu, perhatikanlah dalam-dalam pengajaran yang mulia dalam hadis ini--mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada kamu.

3. Berseimbangan
Rukun usrah yang ketiga ialah takaful yang bermaksud memelihara nasib sesama sendiri agar tiada sahabat yang terbiar atau terlantar. Amalkan rukun ini dengan bersungguh-sungguh, iaitu dengan cara menolong memikul bebanan sesama sendiri. Takaful merupakan tunjang iman dan inti sari ukhuwah sejati. Takaful boleh dijelmakan dengan cara bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi, berganti-ganti membuat kebajikan dengan jalan segera menolong antara satu sama lain sedaya upaya.

Sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya):
"Kalau seseorang daripada kamu itu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baginya daripada ia beri iktikaf sebulan di masjidku ini.”
Sabda baginda lagi (maksudnya):
"Sesiapa memberikan kesukaan kepada keluarga sesebuah rumah orang muslim nescaya tidak lain yang dibalas Allah melainkan dengan syurga."

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Semoga menjadi yang terbaik......